Thursday, August 04, 2005

Soalan Bocor......

CALON - CALONNYA
Terbuka kepada semua

EMPAT GANJARAN LUMAYAN :
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil.
Anda tidak perlu bawa pingat.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta (yg banyak).

Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau
seksi. Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal (Fotostat tidak diterima).

PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:
Anda hanya perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda.Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:
Hadis Hassan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:

Sabda Rasullah SAW:

"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan di sebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan di hujung dua kakinya.

Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: dari arasku tidak ada jalan masuk.

Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk.

Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk.

Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan: dibahagianku tidak ada jalan masuk.

Maka malaikat berkata kepadanya: Duduklah kamu.

Kepadanya (mayat) diperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu: Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya?

Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat: Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini.

Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah Nabi Muhammad saw dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Maka malaikat berkata kepada mayat itu: Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat Insya'Allah.

Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya.

Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya" Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari semua aras (kepala, kanan, kiri dan hujung kaki).!

Siapakah dia ...

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi
Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk - numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Siapakah orang yang KEDEKUT ?
Orang yang kedekut ialah orang yang membiar
atau membuang email ini begitu sahaja malah
dia tidak akan menyampaikan pula pada orang lain

Sunday, July 03, 2005

Suruhan tutup aurat untuk kebaikan lelaki, wanita

mmg_bagus menulis - "DALAM membicarakan persoalan cara pakaian wanita dan kaitannya dengan jenayah seksual adalah satu lagi pandangan mengenainya. Ia adalah jenayah seksual melambangkan perlanggaran terang-terangan terhadap peraturan seimbang yang terkandung dalam Islam, yang perlu dipatuhi oleh lelaki dan wanita dalam masyarakat.

Penyelesaiannya adalah interaksi lelaki dan wanita mestilah kembali kepada penghayatan yang didasarkan kepada asas Islam yang sahih.

Asas itu adalah:

# Hubungan habbunminannas antara lelaki perempuan adalah diasaskan atas dasar ukhuwah dan persaudaraan, penuh rasa hormat dan saling bantu membantu ke arah iman dan takwa.

# Tanggungjawab moral terpikul sama beratnya di atas bahu lelaki dan wanita dalam masyarakat. Dalilnya surah an Nur, ayat 30 dan 31. Lebih penekanan harus diberikan kepada pemahaman dan penghayatan ayat 30 sekarang ini (untuk lelaki beriman) – bagi mengimbangi penekanan yang selama ini yang hanya memberikan tumpuan kepada wanita semata-mata.

Lelaki bertanggungjawab sepenuhnya mengekang nafsu syahwatnya melalui banyak cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

# Kejelasan mengenai perkara asas seperti apa itu kecantikan dan aurat, terutama di kalangan wanita Islam hari ini.

Aurat meliputi anggota badan manusia yang berkaitan dengan reproduksi.

Kecantikan pula terbahagi kepada dua iaitu haiwaniah dan insaniah. Kecantikan haiwaniah tertumpu kepada anggota reproduksi. Kalau melihat haiwan seperti kambing dan lembu yang tidak perlu menutup aurat, genitalia yang terdedah perlu untuk menarik perhatian pasangan kepadanya. Seterusnya berlaku kopulasi atau persetubuhan yang akan menghasilkan zuriat keturunan.

Ia adalah proses asas survival dalam kerajaan binatang. Siapa yang paling cantik dan menarik akan mempunyai peluang untuk membiak. Dengan itu, kita boleh memahami mengapa babun mempunyai punggung merah, kenapa burung merak jantan mempunyai bulu yang sungguh memukau dan berwarna warni?

Namun bagi manusia, kita mesti menilai kecantikan dari sudut insaniah dan nilai Ilahi. Kecantikan insaniah hanya dianugerah kepada manusia yang tinggi dan mulia tarafnya.

Dengan adanya konsep aurat yang diperkenalkan seawal penciptaan manusia pert ama, Nabi Adam, manusia menutup anggota reproduksi lantaran nasab keturunan manusia amat perlu dijaga dan diurus sebaik mungkin.

Perasaan malu secara fitrah diwujudkan dalam jiwa manusia normal, apabila auratnya terdedah.

Kecantikan haiwaniah diganti dengan nilai kecantikan insaniah yang dicirikan dengan kesopanan (modesty). Bilakah pula kita boleh tonjolkan kecantikan haiwaniah kita? Masa bersama dengan pasangan yang sah dalam lingkungan dinding kamar tidur bagi memastikan adanya penerusan zuriat manusia.

Jadi jika ada wanita atau lelaki yang keluar ke khalayak umum mendedahkan kecantikan haiwaniahnya, jangan terkejut jika kopulasi atau persetubuhan haram akhirnya berlaku (sama ada dengan rela atau tidak). Ketika itu perlakuan manusia berkenaan tidak ubah seperti seekor haiwan.

# Wanita Islam perlu membetulkan niatnya atau nawaitunya. Dia TIDAK mengenakan pakaian menutup aurat kerana semata-mata mahu menjaga kepentingan iman lelaki. Tanggungjawab menjaga dan meningkatkan iman adalah urusan setiap INDIVIDU.

Begitu juga kaum lelaki, lazimnya mereka tidak mengenakan pakaiannya yang menutup aurat kerana niat semata-mata perlu menjaga iman kaum wanita. Maka wanita Islam juga tidak melilit tudungnya dengan memasang niat di dalam hati: "Saya perlu berbuat begini agar lelaki di luar sana tidak akan terliur melihat tubuh badan saya dan gugur iman dan serbannya."

Kita, wanita menutup aurat dan sanggup melakukan apa saja untuk mematuhi perintah Allah yang mengandungi terlalu banyak hikmah dan kebaikannya. Kita buat ini semua ini bukan kerana orang lelaki.

Kita menutup aurat sebab iman dan takwa. Kita tidak merokok sebab iman dan takwa. Kita tidak simpan perempuan sebab iman dan takwa. Kita tidak minum arak dan tidak makan babi, semuanya itu kita buat sebab kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Kadangkala apabila kita menggunakan alasan saintifik untuk menyokong alasan kita, maka orang yang berfikiran liberal akan sedaya upaya berusaha menumbangkan `teori' kita.

Contohnya, mengaitkan aurat dengan rogol. Apabila kita kata menutup aurat akan mengurangkan jenayah rogol. Saya pasti banyak dokumen berasaskan penyelidikan dan kajian kes dilonggokkan untuk melemahkan kita dan memalukan Islam.

Sekiranya dengan wanita menutup aurat, peluang dan tarikan syaitan kurang menyerlah di hati lelaki untuk mencabuli kehormatan wanita berkenaan, tentu sekali itu adalah bukti kepada hikmah yang ditetapkan oleh Allah yang bertanggungjawab memelihara hamba-Nya.

Dalam masa yang sama, usaha meningkatkan iman dan kegerunan terhadap azab serta kemurkaan Allah mestilah ditingkatkan dalam diri setiap insan. Barulah masyarakat akan terjamin dari sebarang perlanggaran hak dan sebarang bentuk jenayah akan dapat dibendung.

Oleh Dr Harlina Halizah Siraj

6 Pertanyaan Penting

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Semoga renungan hari ini memberi manfaat.

Ada 6 Pertanyaan Penting :
1. Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ?
2. Apa yang paling jauh dari kita di dunia ?
3. Apa yang paling besar di dunia ?
4. Apa yang paling berat di dunia ?
5. Apa yang paling ringan di dunia ?
6. Apa yang paling tajam di dunia ?

Nak tau jawapannya? baca seterusnya buat renungan kita bersama...Insyallah
Suatu hari, Imam Al Ghozali berkumpul dengan murid-muridnya.Lalu Imam Al Ghozali bertanya, Pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?".
Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman,dan kerabatnya.
Imam Ghozali menjelaskan semua jawaban itu benar. tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "Mati" . Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati.(Ali Imran : 185)

Lalu Imam Ghozali meneruskan pertanyaan yang ke dua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab Negara China, bulan,matahari,dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghozali menjelaskan bahawa semua jawaban yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "Masa Lalu" . Bagaimanapun kita, apa pun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Lalu Imam Ghozali meneruskan dengan pertanyaan yang ke tiga."Apa yang paling besar di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawah gunung,bumi,dan matahari. Semua jawaban itu benar kata Imam Ghozali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "Nafsu" (Al A'Raf: 179). Maka dengan itu kita harus hati-hati dengan nafsu kita, agar jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan ke empat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?". Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawapan semua benar, kata Imam Ghozali. Tapi yang paling berat adalah "Memegang AMANAH" (Al Ahzab72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung,dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) didunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak biasa memegang amanahnya.

Pertanyaan yang ke lima adalah,"Apa yang paling ringan didunia ini?".
Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghozali. Tapi yang paling ringan di dunia ini adalah "Meninggalkan Solat" . Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.
Lantas pertanyaan ke enam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?".
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam Ghozali.
Tapi yang paling tajam adalah "Lidah Manusia" . Kerana melalui lidah, manusia dengan senangnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Pernahkah kita terfikir mengapa Allah lahirkan kita sebagai umat Islam? Bersyukurlah dan bertaubatlah selalu.
Wasallam.

Wednesday, June 29, 2005

Mengembalikan peranan wakaf dalam pembangunan

Oleh Razali Othman
razali.othman@mypec.org

Hampir setengah abad negara mencapai kemerdekaan. Persoalannya, adakah pembangunan yang dicanang dan dibina selama ini banyak memberi faedah dan dapat menguatkan kedudukan bangsa Melayu? Apakah matlamat untuk menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa yang mampu berdikari, berdaya maju, berdaya saing, berfikiran rasional, kritis dan strategik, tidak ketinggalan, tidak tersisih, malah menjadi satu bangsa yang sama turut menyumbang dalam arus pembangunan negara telah dapat dicapai? Apakah peningkatan pendapatan, pemilikan saham, jumlah pelajar di menara gading atau penambahan golongan profesional boleh dijadikan kayu ukur kejayaan orang Melayu?

Melihat kepada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan 2001-2005, pencapaian orang Melayu jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek berbanding kaum lain. Pendapatan bulanan kaum Cina dan India misalnya, melebihi 1.8 dan 1.3 kali ganda lebih tinggi daripada orang Melayu. Kaum bukan Melayu memiliki saham sejumlah 80.9% dalam sektor korporat dan analisis mengikut sektor pula menunjukkan tidak ada satu sektor pun penguasaan sekurang-kurang 30% di kalangan orang Melayu.

Sementara itu, tidak ada satu profesion seperti akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, doktor veterinar, jurutera, juruukur dan peguam di kalangan Melayu melebihi 50%.

orang Melayu yang mendominasi kehidupan luar bandar terus terperangkap dan dibelenggu masalah kemiskinan dengan kadar 11.4% berbanding 2% di bandar. Pengangguran di kalangan pelajar Melayu lepasan universiti semakin meningkat. Gejala sosial seperti dadah, ragut, sumbang mahram, lepak dan sebagainya semakin sinonim dengan orang Melayu.

Hakikat ini harus memberi kesedaran bahawa agenda Melayu masih jauh. Globalisasi, liberalisasi, meritokrasi, dunia digital, ICT dan k-Ekonomi menjadikan cabaran yang menunggu di hadapan semakin sengit. Dalam hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan apa yang menanti di hadapan kita adalah satu persimpangan. Persimpangan yang mungkin membawa keruntuhan atau berakhir dengan kegemilangan sebagai sebuah bangsa.

Apapun, agenda Melayu harus diteruskan. Seharusnya bangsa lain menyedari dan melihat agenda Melayu dari sudut positif dan menjadikannya sebagai agenda nasional. Agenda yang pasti membawa keharmonian kaum. Malah, mereka harus turut membantu membangunkan bangsa Melayu. Ketidakadilan pasti akan membawa rasa ketidakselesaan. Kita tidak mahu sejarah tragedi perkelahian yang hampir memusnahkan negara berulang.

Kita bercakap dan bertindak dalam soal yang cukup besar yang akan membawa kepada keharmonian negara berbilang kaum. Adakah negara maju seperti Amerika, Britain atau negara-negara Eropah itu adil? Sanggupkah negara-negara yang digelar hero demokrasi ini menyerahkan kepentingan ekonomi dan negara kepada bangsa lain walaupun kepada penduduk asing yang telah menjadi warga negara mereka? Lihat saja keganasan dan kerakusan Israel merampas setiap inci bumi Palestin. Lihat juga bagaimana rakyat kulit putih Australia mengherdik bangsa lain yang mengambil tidak sampai sepuluh peratus kekayaan mereka.

Apakah kita di bumi Malaysia ini nanti akan terus menuding jari menyalahkan penjajah, menyalahkan pemimpin, menyalahkan bangsa lain atau terus menyalahkan orang sekeliling kita? Penyelesaian harus segera dicari untuk kita bangkit sebagai umat yang benar-benar merdeka. Merdeka pemikiran, ekonomi, politik dan sebagainya. Pendekatan yang hanya akan dapat dicapai sekiranya orang Melayu bersedia untuk mengubah sikap dan pemikiran terhadap kejayaan. Antaranya ialah perubahan menerusi pendekatan Hadhari yang berdasarkan pemikiran Islam, mengikut panduan al-Quran dan Sunnah seperti disarankan Perdana Menteri kita.

Dengan kata lain, pendekatan yang melihat, menekankan, mempelajari, mengolah dan mengembalikan kehebatan tamadun Islam dalam pelbagai aspek kehidupan ke dalam dunia kontemporari dengan matlamat untuk memartabatkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang merdeka. Pendekatan yang meminta kita mencari cara, kaedah, penyelesaian atau apa terma sekalipun dengan matlamat untuk memperkasakan bangsa Melayu. Jangan lagi kita bercakap dan membincangkan soal remeh-temeh. Menuding jari, mencari kesalahan orang lain. Terlalu banyak penyelesaian di hadapan yang perlu kita teroka, fikirkan dan cari. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak bahawa kita perlu berubah daripada sikap sambil lewa kepada sikap bersunguh-sungguh, daripada sikap berlebih kurang kepada sikap lebih tepat, daripada kepercayaan karut marut kepada kepercayaan saintifik dan daripada pemikiran beremosi kepada pemikiran rasional, daripada tumpuan taktikal kepada pemikiran strategik dan seterusnya daripada pemikiran bercelaru kepada pemikiran yang mementingkan keutamaan.

Wakaf misalnya, dilihat sebagai tanah perkuburan, masjid, madrasah dan tanah terbiar harus diberi perhatian dan dijadikan mekanisma sumber pembiayaan dalam membangunkan bangsa Melayu. Wakaf telah digunakan sebagai asas pembangunan dalam sektor pendidikan, membasmi kemiskinan, kesihatan, kebajikan, penyelidikan dan sebagainya. Wakaf juga telah digunakan bukan sahaja sebagai alat untuk pengagihan semula kekayaan tetapi juga untuk memperkukuhkan keupayaan individu dan masyarakat yang memerlukan bantuan asas seperti modal pinjaman, rawatan hospital, makanan berkhasiat, keperluan infrastruktur dan sebagainya. Kehebatan sistem pendidikan, kesihatan, gedung perniagaan, kawasan peristirahatan dan kebajikan masyarakat terserlah melalui institusi wakaf pada zaman keagungan Islam.

Kehebatan kulliye atau gabungan bangunan seperti masjid, hospital, sekolah, universiti, perpustakaan, kompleks perniagaan, rumah penginapan, tempat mandian, rumah anak yatim dan pusat pengedaran makanan percuma atau imaret telah memberi sumbangan besar kepada kemakmuran kerajaan dan Empayar Ottmaniah selama berabad-abad lamanya.

Individu dan masyarakat yang berwakaf bukan sahaja mendapat ganjaran pahala berterusan yang dijanjikan Allah tetapi dalam masa sama dapat turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Negara yang hebat dipimpin oleh pemimpin yang adil dan didokong rakyat yang sedia berbakti.

Sampai masanya kita melihat dan mengembalikan peranan serta kehebatan institusi wakaf. Sebagai umat Melayu, pemikiran kita harus beranjak. Jangan lagi melihat wakaf dalam konteks sempit iaitu tanah kubur, masjid, surau atau sekadar tanah terbiar. Wakaf harus dilihat dalam perspektif sebenar. Sebagai mekanisma kewangan dan pembiayaan dalam menyediakan pelbagai sumber kepada bangsa Melayu dalam menghadapi seribu macam cabaran. Insya-Allah, pembelaan dan pembangunan bangsa Melayu akan pasti membawa kemakmuran dalam negara kita, negara pelbagai bangsa. Bangunkan Islam Hadhari, bangkitkan wakaf, realisasikan agenda nasional ke arah keharmonian negara berbilang bangsa.

Barang sedekah mesti berkualiti

Oleh Mohd Fazri A Murad

SIFAT suka bersedekah menjadi rutin nabi dan rasul serta orang soleh sejak zaman berzaman.

Sejak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad sedekah menjadi sumber kehidupan fakir dan miskin. Nabi Idris pernah sedekahkan sebahagian besar hasil jahitannya kepada fakir miskin.

Nabi Nuh hidup bersama-sama kaumnya yang miskin dan mereka makan apa yang beliau makan. Pengikut Nabi Hud dan Salleh pula tidak mempunyai harta. Mereka sering mendapat sedikit habuan daripada nabi mereka yang juga pemimpin dan pelindung mereka.

Diriwayatkan bahawa Nabi Ibrahim apabila hendak makan akan mengundang sesiapa saja yang melintas di depan pintu rumahnya. Beliau mempelawa tetamu makan bersama-samanya.

Jika tidak ada sesiapa melintas, Nabi Ibrahim akan keluar mencari tetamu berdekatan rumahnya. Selepas pasti tiada sesiapa barulah beliau makan dengan anak dan isterinya.

Sedekah menurut istilah syarak ialah pemberian ketika hidup kepada seseorang tanpa ada tukar ganti dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.

Apa saja pemberian berupa mata benda tanpa bayaran sebagai imbalan atas pemberian itu dengan tujuan ikhlas untuk mendekatkan diri kepada Allah, disebut sedekah. Sedekah dibahagikan kepada yang wajib, sunat, wakaf, derma dan sumbangan.

Sedekah mestilah berupa mata benda kerana ia membezakan antara sedekah dengan pinjaman. Pinjaman adalah pemilikan sementara kepada seseorang untuk dimanfaatkan, tetapi ‘mata bendanya’ tetap milik orang yang meminjamkan.

Sedekah dibezakan dengan hadiah atau hibah kerana ia terbina untuk mendekatkan diri kepada Allah. Apabila kita memberi dengan tujuan mengeratkan diri dan merapatkan hubungan, maka itu disebut hibah. Jika ia dimaksudkan untuk memuliakan orang yang menerimanya, maka ia dinamakan hadiah.

Perkataan ‘sedekah’ pada kalangan ulama fekah lebih merujuk kepada sedekah sunat. Dalam istilah masyarakat umum hari ini, ia disebut derma atau sumbangan.

Istilah derma dan sumbangan itu membawa kepada maksud sedekah selagi ia bertujuan merapatkan dirinya dengan Allah dan mencari keredaan-Nya. Manakala sedekah wajib pula dikenali sebagai zakat.

Memberi sedekah hukumnya sunat. Terdapat banyak dalil memperkatakan mengenai suruhan dan galakan bersedekah. Antaranya firman Allah yang bermaksud:

“Siapakah orang yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan akan balasan-Nya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah) Allah juga yang menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nya kamu semua dikembalikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 245)

Dalam ayat lain Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dirikan solat serta berilah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah) apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi.” (Surah al-Muzzammil, ayat 20)

Dalam hal ini, Rasullullah ada menyebut mengenai suruhan dan galakan bersedekah. Sabda baginda dalam hadis yang bermaksud:

“Mana-mana orang mukmin yang memberi makanan kepada seorang mukmin yang lain kerana kelaparan, maka Allah akan memberi makanan kepadanya pada hari kiamat daripada buah-buah syurga. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi minuman kepada seorang mukmin lain yang kehausan, maka Allah akan memberi minuman kepadanya pada hari kiamat daripada kamar syurga yang termeteri bekasnya. Dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakaian kepada seorang mukmin yang lain kerada tidak berpakaian, maka Allah akan memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga yang berwarna hijau.” (hadis riwayat at-Tarmizi dan Abu Daud).

Sedekah boleh dilakukan pada bila-bila masa, terutama ketika Ramadan. Ini kerana memperbanyakkan sedekah di bulan berkenaan menjadi sunnah Rasulullah. Perkara ini diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

“Rasulullah orang paling pemurah (dermawan) dan baginda lebih pemurah pada Ramadan. Jibril bertemu baginda pada setiap malam Ramadan, lalu baginda membacakan al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan An-Nasa’ie)

Sedekah adalah amalan suci yang sangat dituntut dalam Islam. Namun, kita perlu memikirkan juga mutu barang yang hendak disedekahkan. Perkara ini penting kerana ia turut mencerminkan niat amalan sedekah itu.

Dalam hal ini, Islam menggariskan tiga perkara asas yang mesti dipenuhi untuk menjadikan pemberian sedekah itu berkualiti.


Pertama, barang yang disedekahkan itu mesti berkualiti dan masih elok.

Bersedekah adalah ibadat untuk merapatkan hubungan kita dengan Allah dan mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita. Oleh itu, tidak layak jika apa yang dipersembahkan kepada-Nya sesuatu yang kita sendiri tidak sudi menerimanya. Allah juga melarang memberikan sedekah dengan benda yang tidak baik.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik- baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah seungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Surah al-Baqarah, ayat 267)


Kedua, sedekah itu daripada sesuatu yang halal dan tidak bercampur dengan perkara suhabat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah bersabda maksudnya: “Tidak seseorang itu memberikan sedekah daripada harta yang baik dan Allah tidak akan menerima kecuali yang baik - dan Allah yang Maha Pengasih akan menerima sedekah itu dengan tangan kanan-Nya, sekalipun sedekah itu hanya berupa sebiji kurma.Lalu di tangan Allah yang Maha Pengasih sedekah itu bertambah-tambah sehingga menjadi lebih besar daripada gunung seperti antara kamu memelihara (membesarkan) anak kudanya atau anak untanya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, at-Tarmizi, An Nasa’ie dan Ibnu Majah)

Al-Imam An-Nawawi, seorang ulama terkemuka dalam mazhab Syafie menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan yang baik dalam hadis di atas adalah sesuatu yang halal.

Dalam hadis lain, Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah bersabda bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci dan bersih daripada segala kekurangan) dan Dia tidak menerima kecuali yang baik. Dan Allah memerintahkan kepada orang yang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada rasul.”

Allah berfirman bermaksud: “Wahai rasul-rasul! Makanlah daripada benda-benda yang baik-baik lagi halal dan kerjakanlah amal soleh, sesungguhnya Aku Amat Mengetahui apa yang kamu kerjakan (Surah al-Mukminuuun, ayat 51)


Ketiga, barang yang disayangi pemberi sedekah.

Sunat bagi seseorang mengeluarkan sedekah atau derma daripada benda yang disukainya. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali Imran, ayat 92)

Sebuah hadis dari Abu Hurairah, Nabi Muhammad bersabda: “Tiap-tiap sendi dari (tubuh badan) manusia dikenakan sedekah pada setiap hari terbit matahari.”

Baginda menerangkan jenis-jenis sedekah: “Perbuatanmu mendamaikan dua orang (yang berbalah) menjadi sedekah; menolong orang dengan mengangkatnya ke atas binatang kenderaan atau mengangkat barangnya dan meletakkannya di atas kenderaannya adalah menjadi sedekah.”

Ini bermakna sedekah tidak hanya dengan harta benda atau wang semata-mata. Ssegala bentuk sumbangan yang boleh membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan dalam hidup bermasyarakat.

Monday, June 27, 2005

HARTAWAN YANG TERTIPU

Berikut adalah Motivasi Mutiara Dr Danial pada 15 Februari 2005, jam 7.30 pagi di Radio Malaysia Pulau Pinang. ( RMPP )

Assalamulaikum wbt. Dengan nama Allah yang maha pengasih dan lagi maha penyayang. Tuan-tuan dan puan-puan, para peminat RMPP yang dimuliakan. Pada 3 sesi yang lepas saya telah bicarakan perkataan Imam Al-Ghazali berhubung dengan golongan yang tertipu. Saya telah bicarakan tentang ahli ilmu yang tertipu, ahli Ibadah yang tertipu dan ahli sufi yang tertipu. Pada pagi ini Dr Danial akan berbicara tentang golongan yang ke- 4 yang juga tertipu. Mengikut pandangan Imam Al-Ghazali rahimatullah hutaala. Siapakah mereka. Mereka itu ialah golongan hartawan yang tertipu.

Mereka kaya raya. Mereka golongan korporat. Gaji mereka besar, tetapi mereka terpedaya. Berkata Imam Al-Ghazali, sebahagian daripada hartawan ini berbangga kerana dapat membangunkan masjid-masjid, madrasah, jambatan dan seumpamanya sambil mengukir nama-nama mereka pada banggunan-banggunan itu. Mereka menjangka dengan melakukan demikian mereka berhak mendapat keampunan daripada Allah. Sedangkan sebahagian dari harta-harta yang mereka gunakan itu diperolehi dari sumber yang haram. Sebagai contohnya daripada bisnes yang melibatkan riba, rasuah. Tiba-tiba mereka merasakan wang rasuah, riba itu akan jadi bersih jika sebahagian daripadanya digunakan untuk membuat madrasah. Mereka tertipu sebab mereka sebenarnya masih belum selamat walaupun itu mereka lakukan.

Seterusnya berkata Al-Ghazali. Mereka tertipu sebab yang diwajibkan keatas mereka bukan membina banggunan itu. yang diwajibkan secara dasarnya ialah menjauhi harta yang haram. Itu yang Allah mahu. Jauhi harta yang haram dan bukan membuat banggunan tetapi mereka mengambil yang haram untuk membuat banggunan dan mengharapkan ia akan melepaskan mereka dari azab ilahi. Mereka silap faham tentang Quran dan Sunnah.

Seterusnya Al-Ghazali berkata, perbuatan mereka seperti itu sebenarnya maksiat. Sebahagian daripada mereka pula berbangga kerana berjaya mencantikkan masjid-masjid dengan perbagai hiasan. Sedangkan wang yang dilaburkan itu sepatutnya digunakan untuk membantu fakir miskin yang terdapat dikawasan itu. Subhanallah tuan-tuan dan puan-puan. Ini suatu permikiran yang cantik. Permikiran yang sebenarnya boleh menginsafkan kita bersama sebab kadangkala ada hartawan ini dia hendak menghiaskan masjid sedangkan yang utamanya bukan itu. Ada hartawan yang sanggup melaburkan wang untuk masukkan air-con di surau, masjid tertentu dan dia merasakan dengan pelaburan itu insyaallah dia akan mendapat pahala yang tidak putus-putus. Kata Al-Ghazali, sorry, perbuatan kamu sia-sia sebab kamu hanya menghiaskan masjid, memasukkan air-con dan seumpamanya sedangkan ia tidak diwajibkan, ia tidak dipandang penting oleh agama. yang perlu diutamakan ialah fakir miskin di kampung itu diberikan wang untuk memampukan m ereka untuk hidup. Itu lebih penting. Tetapi tidak, kita buat yang kurang penting.

Lainlah tuan-tuan dan puan-puan, jika yang penting sudah beres kemudian kita rasakan nak hiaskan sedikit lagi masjid dan surau, silakan. Tetapi andaikata ada perkara yang lebih penting yang perlu kita bereskan tetapi kita tidak melakukannya dan kita buat yang kurang penting kemudian kita mengatakan kita baik, kita tertipu. Itu yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali. Kata beliau lagi sebahagian daripada hartawan ini sanggup menghabiskan wang untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah hampir setiap tahun. Tahun ini pergi umrah, tahun hadapan umrah lagi. Subhanallah sebab apa. Duit banyak. Keluarkan wang pula untuk orang lain menunaikan umrah. Kata Al-Ghazali ini semuanya perbuatan orang yang tertipu. Setiap tahun mereka melakukan ibadah haji dan umrah sedangkan wang itu sepatutnya digunakan pada perkara yang lebih utama seperti membantu mereka yang memerlukan sebagai contoh untuk program-program pendidikkan anak-anak remaja yang ramai terbabas pada hari ini, itu yang lebih utama. Tetapi tidak mereka menghabiskan 4 - 5 ribu setiap tahun untuk menunaikan umrah sedangkan umrah itu sunat dan hanya untuk diri sendiri, tetapi melaburkan wang untuk aktiviti pendidikkan remaja, membuka kelas-kelas agama di kampung untuk remaja khasnya, itu yang wajib.

Lantas tuan-tuan & puan-puan yang dimuliakan. Memang cantik sekali peringatan Al-Ghazali ini. Terutamanya bagi kita yang kaya raya. Kita bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita hartawan dan jutawan. Saya mendoakan kepada mereka yang jutawan dan hartawan ini agar wang yang diperolehi ini diberkati oleh Allah dan semoga Allah tambahkan rezeki kepada anda dari masa kesemasa, ini doa Dr Danial. Tetapi ingat jangan jadi jutawan, hartawan yang tertipu yang hanya mementingkan perhiasan luaran dan tidak memberi tumpuan kepada keutamaan. Akhirnya masjid ada air-con tetapi disekeliling masjid ujudlah fakir-fakir miskin yang tidak ada makanan dan minuman setiap hari. Jangan jadi seperti itu. Semoga insyaallah wang kita, kita salurkan kepada ibadah yang betul dan semoga insyaallah wang kita itu disalurkan kepada keutamaan, bukan kepada perhiasan yang sebenarnya tidak penting.

Sunday, June 26, 2005

Nombor-Nombor Kecemasan Di Lebuhraya

Informasi nombor-nombor kecemasan di lebuhraya: (nombor yang perlu tu simpan la dalam handphone)

1.Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) - 03-26920000
2.Jambatan Pulau Pinang (PBSB) - 04-3980000
3.Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) - 03-5311153
4.Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINK) - 07-2788000
5.Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (MTD) - 09-2330100
6.Lebuhraya Kulim - Butterworth (KLBK) - 04-3986969
7.Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) - 06-6323060
8.Lebuhraya Shah Alam (KESAS) - 03-56327088
9.Lebuhraya Cheras - Kajang (GRAND SAGA) - 03-90750505
10.Lebuhraya Damansara - Puchong (LITRAK) - 03-56333929
11.Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) - 03-79840388
12.Lebuhraya Bertingkat Ampang (PROLINTAS) - 03-21649369
13.Lebuhraya SPRINT - 03-79601050
14.Lebuhraya Metramac - 03-42563800
15.Lebuhraya Shahpadu - 03-55428888
16.Lebuhraya Baru Pantai (NPE) - 03-77876000
17.Lebuhraya Sistem Linkaran Kajang (SILK) - 1-800-881977
18.Lebuhraya Pantai Timur (Fasa 1) - 09-5479111

Tuesday, June 21, 2005

Tapak Pendaratan Jepun Dimamah Ombak, Makam Tok Janggut Terus Terbiar

Image hosted by Photobucket.com
DIMAMAH OMBAK… Pantai Kuala Pak Amat, Sabak, tempat pendaratan Jepun semasa Perang Dunia Kedua dekat Kota Baharu, hilang ditelan ombak sejauh satu kilometer. Foto: Kamaruzaman Yaacob

Laporan Khas Oleh Noor Hammad Wariman

KOTA BAHARU, 20 Jun (Bernama) -- Akibat masalah hakisan, Pantai Kuala Pak Amat, tempat pendaratan Jepun semasa Perang Dunia Kedua di sini, sudah semakin hilang ditelan ombak sejauh satu kilometer, dan akibatnya, tempat yang menyaksikan permulaan Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik pada tengah malam 7 Disember 1941 lalu, sudah tidak wujud lagi.

Pada malam itu tentera Jepun dengan lapan buah kapal iaitu lima kapal perang dan tiga kapal pengangkut berlabuh di perairan Kelantan iaitu di Kuala Pak Amat, sebelum tentera negara matahari terbit itu menakluki Kelantan sepenuhnya selepas pasukan tentera British Briged kelapan yang diketuai Brig. Jen. B.S.Key berundur ke selatan tanah air.

"Kita mahu lupakan kesedihan zaman itu yang dibawa tentera Jepun," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat Kelantan Datuk Annuar Tan Abdullah.

Akibatnya, pendirian kerajaan negeri itu tambah memburukkan lagi nasib kesan-kesan peninggalan sejarah di negeri Kelantan, yang rata-rata terus terbiar dan hilang ditelan zaman.

Walaupun peruntukan membina tugu atau monumen di kawasan darat bagi mengenang sejarah penjajahan itu ada, namun Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Kelantan, Sulaiman Ismail berkata masalah timbul kerana belanja untuk mengadakan jalan masuk ke kawasan itu adalah lebih besar daripada kos membina monumen itu sendiri.

Naib Presiden Persatuan Pelancongan Kelantan Mustafa Ibrahim berkata satu dataran perlu dibina di situ kerana setiap tahun ramai bekas tentera Jepun dan British termasuk ahli keluarga mereka datang ke pantai itu untuk memperingati peristiwa itu mengikut cara masing-masing.

"Persatuan akan cuba mendapatkan sebidang tanah dari kerajaan negeri bagi tujuan itu dan dan daripada mana-mana pihak untuk membina jalan bagi memudahkan bas masuk ke kawasan itu," katanya kepada Bernama.

Makam Haji Mat Hassan Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut, pahlawan Melayu di Pasir Pekan Hilir juga menghadapi masalah yang sama, iaitu ia semakin hari dilupakan dari lipatan sejarah.

Pelancong atau orang luar sudah pasti akan mengalami kesukaran mencari lokasi makam itu kerana papan tanda arah mengenainya di tepi jalan besar di Pasir Pekan juga telah hilang berikutan kerja-kerja menaikkan taraf jalan.

Makam pahlawan Melayu yang menentang campurtangan British di Kelantan pada 1909 di Pasir Pekan Hilir itu jelas terbiar, dipenuhi semak samun, manakala kawasan sekitarnya pula dipenuhi timbunan batu bata dan guni berisi baja ditutupi zink yang diletakkan penduduk di sekitar makam itu.

Walaupun ada batu peringatan yang dibuat daripada marmar lengkap dengan maklumat dalam bahasa Inggeris, Cina dan Melayu yang dipasang oleh Tourism Malaysia, cat pada tembok di sekeliling makam itu telah pudar.

Namun bagi Annuar, tapak sejarah pejuang Melayu itu tidak perlu diagung-agungkan, kerana rakyat akan mengingati perjuangannya dengan membaca buku-buku sejarah.

"Tak apa, rakyat akan ingat pasal pejuang itu. Tak perlu pergi ke makam. Kisahnya ada dalam buku sejarah," katanya ketika diingatkan bahawa jika tempat itu tidak diberi perhatian, lama kelamaan ia akan terbiar.

"Kita kena tanya ulama dulu, takut orang tak faham (kita) agung-agung tempat orang mati, susah juga. Kalau okay, kita akan buat sesuatu pada masa depan tapi buat sementara ini tak ada," katanya.

Bagaimanapun bagi Mustafa, makam Tok Janggut dan kawasan sekitarnya perlu dibangunkan kerana beliau merupakan pejuang kebanggan Melayu seperti Mat Kilau dan Datuk Bahaman.

"Usaha Tok Janggut perlu dikenang kerana berjuang untuk membebaskan tanah air dari penjajahan dan jika warisan yang ada dipulihara, dari segi segi pelancongan ia juga membawa manfaat ekonomi kepada penduduk setempat untuk membebaskan diri dan keluarga dari cengkaman kemiskinan," katanya.

Tok Janggut yang dilahirkan di Kampung Saring, Pasir Puteh pada 1853 mempelopori satu angkatan yang berjuang membebaskan Kelantan daripada belenggu penjajah, namun terbunuh dalam pertempuran semasa menentang pasukan Malay State Guide di Kampung Dalam Pupuh, Pasir Puteh pada 24 Mei 1915.

Mayatnya digantung beberapa hari di Padang Bank yang kini dikenali sebagai Padang Merdeka di sini sebelum dibawa menyeberangi Sungai Kelantan dan dikebumikan di Pasir Pekan Hilir.- BERNAMA

Monday, June 20, 2005

Membeli Hiburan Untuk Menyesatkan Manusia

Image hosted by Photobucket.com

Maksudnya :

"Terdapat di kalangan manusia itu, orang yang membeli hiburan (yang terdiri daripada percakapan dan nyanyian-nyayian yang menarik) demi untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah. (Tujuannya kerana ingin menyesatkan dan menghalang manusia dari jalan Allah serta untuk menentang orang-orang yang menegakkan agama Allah) Mereka mempersendakan orang-orang yang berjuang menegakkan agama Allah. Bagi mereka azab yang hina."
Ayat 6, Surah Luqman.


Pengajaran :
1. Ayat ini diturunkan mencela seorang lelaki (an-Nadhar bin al-Harith) yang membeli hamba yang pandai menyanyi untuk menjadi tarikan kepada orang ramai dan menghalang mereka dari pada menyertai majlis yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, Islam melarang kita menggunakan penyanyi atau apa-apa hiburan yang melalaikan untuk tujuan menarik orang ramai untuk berbuat sesuatu atau untuk berkumpul atas tujuan tertentu.

2. Larangan membeli atau menaja perkara-perkara yang melalaikan manusia dari mengingati Allah, seperti membeli cerita-cerita lakonan seperti filem, drama dan sebagainya dan membeli bahan-bahan hiburan atau menganjurkannya seperti nyanyian, tarian dan sebagainya. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud : Tidak halal menjual penyanyi-penyanyi dan tidak halal membeli penyanyi-penyanyi. Dan memakan harga-harganya adalah haram. Dan mengenainya Allah s.w.t menurunkan firmanNya …..(ayat di atas) Hadith Riwayat Tirmizi)

3. Menurut mufassirin, termasuk juga makna “lahwal hadith” ialah segala kerja-kerja atau kegiatan-kegiatan yang dilakukan pada masa sekarang di atas nama kebudayaan atau yang seumpama dengannya yang jauh dari mengingatkan manusia kepada Allah.

MEMENANGI KEPERCAYAAN MAJIKAN

Disusun oleh : Puan Azhana Othman (azhana@kym.edu.my)

Sekiranya anda baru memulakan kerja di sebuah pejabat yang mana persekitarannya masih asing, tentu anda mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Segala tindaktanduk dan kemampuan anda dalam mengendalikan tugas sentiasa menjadi perhatian majikan.

Justeru itu terdapat pelabagi teknik untuk memenangi kepercayaan majikan, agar anda dapat bekerja dalam suasana mudah dan selesa. Antara tekniknya ialah,

1) Berterus-terang
Sebagai perkerja baru, tentu anda memerlukan banyak bantuan sewaktu melaksanakan tugas. Tentu tidak mudah untuk mengenalpasti individu yang boleh dipercayai dapat membantu. Jalan selamat ialah sentiasa berkomunikasi dengan ketua anda. Berterus terang sekiranya tidak berupaya menjalankan tanggungjawab yang diberi dan minta bimbingan dan nasihat sekiranya berlaku kesilapan.

2) Tonjolkan kepakaran
Keupayaan yang ditonjolkan pasti dapat menambat hati rakan sekerja termasuk majikan. Sekiranya anda mampu mengekalkan mutu kerja yang baik dan memberangsangkan adaldah lebih mudah memenangi kepercayaan orang lain.

3) Konsisten
Anda perlu mempunyai prinsip diri dan kerja. Pastikan melakukan kerja secara sistematik dan konsisten.

4) Rela memberi bantuan
Bersikap sukarela setiap kali teman sepejabat mengharapkan bantuan. Bantulah mengikut kemampuan, dan ini dapat mengukuhkan lagi kepercayaan orang terhadap diri anda.

5) Ikhlas
Pamerkan minat terhadap kerja, bertanggungjawab dan ‘ringan tulang’.

Baiki persepsi terhadap pelarian

SEAWAL pukul 9 pagi setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad, bangunan kayu dua tingkat yang terletak di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur tidak pernah surut daripada didatangi sekumpulan orang.

Kumpulan itu sebenarnya adalah mereka yang datang ke negara ini dalam keadaan sehelai sepinggang, meninggalkan kampung halaman, lari daripada kezaliman kerajaan mereka dan seribu macam faktor lain.

Tetapi alasan mereka berkumpul di tepi pagar bangunan kayu berkenaan cuma satu - mahu memohon suaka seterusnya menyimpan impian menjadi pelarian di persekitaran lebih aman di negara orang.

Bangunan kayu itu adalah pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

UNHCR dikunjungi tanpa jemu oleh kumpulan pemohon suaka kerana individu di dalam bangunan itu boleh menjadikan mereka memperoleh status pelarian.

Pun begitu, dalam usaha mendapat status berkenaan, mereka masih dihambat pelbagai kesukaran.

Memberikan cerita benar, `menjawab' soalan pegawai UNHCR dan diburu penguat kuasa kerana memasuki negara lain secara tidak sah adalah perkara biasa terpaksa mereka hadapi.

``Bukan itu perkara yang menjadi paling sukar apabila menjadi pelarian, sebaliknya menghadapi persepsi orang lain terhadap mereka cukup menguji,'' kata wakil UNHCR di Malaysia, Dr. Volker Turk semasa ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Jika ditanya apa pandangan kita terhadap mereka sekali pun, jawapan yang diterima pasti agak berat sebelah.

Apabila disebut pelarian, apa yang jelas tergambar ialah imej individu keliru, pameran wajah yang cenderung melakukan jenayah serta memberikan masalah jika didekati.

Tetapi persepsi sebegitu tidak salah kerana sebelum ini banyak kes rusuhan dan jenayah lain berlaku di kem-kem pelarian.

Kita juga pernah dihidangkan dengan kes membakar diri di hadapan bangunan UNHCR melibatkan seorang warga Iran yang kecewa terhadap agensi PBB itu kerana tidak memberikan suaka kepadanya.

Menurut Turk, negara-negara yang menjadi tempat pelarian mereka tidak boleh memaksa orang pelarian kembali ke tempat asalnya di mana mereka menghadapi sebarang ancaman bahaya atau jika tempat itu akan memberi diskriminasi ke atasnya.

```Seorang pelarian itu bagaimanapun bertanggungjawab menghormati undang-undang dan peraturan mana-mana negara di mana mereka mendapat suaka.

``Walaupun mereka ini pelarian, mereka berhak mendapat perlindungan atau suaka.

``Perlindungan antarabangsa meliputi lebih daripada perlindungan fizikal semata-mata.

``Orang pelarian seharusnya menerima sekurang-kurangnya hak asas yang sama seperti mana-mana orang asing yang mempunyai hak bermastautin, termasuk kebebasan bergerak dan kebebasan daripada penyeksaan dan layanan yang menghinakan,'' jelas Turk.

Objektif Hari Pelarian Sedunia ialah untuk mengiktiraf semangat dan kecekalan pelarian-pelarian dunia.

``Mereka telah kehilangan segala-galanya, tetapi tetap cekal, berfikiran positif untuk terus hidup dan membina semula kehidupan mereka,'' kata beliau.

Hari Pelarian Sedunia disambut pada 20 Jun setiap tahun. Di Malaysia, Hari Pelarian Sedunia hanya disambut setahun yang lalu, itu pun berlalu tanpa ada banyak pihak yang mengambil peduli tentangnya.

Sememangnya, sejumlah 17 juta pelarian yang ada di seluruh dunia pada masa ini sentiasa menunggu `satu hari' khas untuk mereka.

Sehingga bulan Mei 2005, UNHCR telah mendaftar lebih 40,000 orang pelarian di Malaysia.

Mereka terdiri daripada 20,000 orang Aceh dari daerah Aceh di Indonesia; 10,000 orang Rohingya dari negeri Rakhine Utara, Myanmar dan baki 10,000 terdiri daripada kumpulan etnik minoriti dari Myanmar seperti Myanmar Chin serta selebihnya pelarian dari negara lain.